Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

May 20, 2009

Tazkirah :- Ahli politik ‘pemurah pahala’ - Dr Marza

(Masjid di Brunei Darussalam)
Ramai orang politik memang pemurah. Semua orang cakap begitu. Sifat pemurah orang politik mempunyai banyak makna. Mungkin kerana ingin menolong orang lain disebabkan mereka merasakan mereka itu pemimpin. Mungkin juga kerana ingin menjaga undi dan sokongan. Sehinggakan Ketua Dewan Ulama PAS pun mengeluh tentang ‘unsur rasuah politik’ dalam partinya.

Sama ada dinamakan rasuah atau apa sahaja; orang politik itukan pemurah?! Sekalipun mungkin ada maknanya yang tersendiri. Ya! Kuasa, pengaruh, nama, pangkat dan segala yang berkaitan dengannya bukan mudah hendak dilepaskan, juga bukan mudah untuk diubati jika sudah mabuk.

Benarlah kata tokoh umat Islam yang terbilang al-Imam Sufyan al-Thauri (meninggal 161H): Aku tidak melihat paling kurangnya kezuhudan itu melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262).

Namun ramai orang politik dan ‘tidak politik’ bukan sahaja murah duit atau ‘harta dunia’ tapi juga murah pahala. Dengan mudah sahaja mereka memberikan ‘pahala’ mereka kepada orang lain, atau dengan mudah rela menanggung dosa orang lain jika mereka tidak dapat memberikannya pahala.

Nabi SAW pernah bertanya para sahabat baginda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”.

Sabda baginda: Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka (Riwayat Muslim).

Hadis ini amat menakutkan. Inilah hakikat muflis atau bankrap yang hakiki. Adapun muflis dalam kehidupan dunia mungkin boleh diselesaikan atau berakhir. Namun muflis jenis ini membawa kesan dalam kehidupan ‘alam abadi’. Ya, kita semua jarang yang terlepas dari kesalahan ini. Namun kita selalu berusaha dan ingin mengelaknya. Malangnya, dalam kehidupan sesetengah ahli politik yang tidak berteraskan wahyu kita ada dapati bagi mereka memaki hamun orang, menuduh orang tanpa bukti, memakan harta orang atau rakyat, menumpahkan darah orang sama ada mencedera atau membunuhnya tanpa sebab yang diizinkan syarak bagaikan ‘rukun politik’ yang wajib dan ‘haram’ ditinggalkan. Lebih buruk lagi jika itu semua dihalalkan atas berbagai alasan.


Mengkritik dan memberikan pandangan berbeza dalam politik adalah tidak mengapa. Bahkan merupakan satu keperluan. Jika membabitkan hak rakyat, maka rakyat perlu dibela. Apatah lagi dalam ‘reka bentuk’ politik demokrasi yang diamalkan. Namun, memaki-hamun, mencerca, sehingga ada yang mencarut adalah bertentangan dengan syarak. Lebih buruk lagi ada yang mengutuk sifat peribadi orang lain yang Allah ciptakan seperti mempersendakan ‘botak’, ‘hidung besar’, ‘mamak’ dan berbagai lagi.

Makian, kutukan, sendaan itu dijadikan bahan ketawa yang ‘dikongsi dosa’ bersama pengikut dan penyokong. Jika ada tuduhan terhadap musuh politiknya, belum pun ada bukti atau sokongan bukti, terus sahaja diperkatakan secara ‘yakin tanpa syak’. Bersorak sorai pengikut meraikan ‘kemurahan pahala’ orang politik. Sementara membelasah harta orang dilakukan oleh banyak pihak yang tidak jujur dan amanah. Namun, dalam banyak keadaan ramai orang politik yang mempergunakan harta rakyat untuk kepentingan dirinya. Demikian sejarah juga menunjukkan penumpahan darah dan penyeksaan ke atas hamba-hamba Allah yang lain sering mempunyai hubungan dengan politik.

Buruk

Lebih buruk lagi, ada yang menghalalkan kesalahan-kesalahan tersebut atas alasan demi menegakkan kebenaran. Lalu dipetiklah kata-kata sarjana itu dan ini seperti al-Imam al-Ghazali dan al-Nawawi bagi menjustifikasikan perbuatan salah tersebut. Padahal jika dilihat kepada konteks huraian yang mereka sebutkan, bukan demikian maksudnya. Mana mungkin mereka 'menghalalkan' maki-hamun, carut-marut atau menuduh tanpa bukti atas alasan untuk menegakkan kebenaran. Kebenaran apa jika begitu rupanya?! Peperangan mempertahankan agama yang dihalalkan Allah dan rasul-Nya pun, tidak dibenarkan kita melampaui batas, apakah kita boleh melampaui batas ketika berpolitik?

Firman Allah: (maksudnya) Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas. Namun orang politik yang berperang untuk kerusi mereka melampaui batas. (Surah al-Baqarah: ayat 190)

Saya masih teringat seorang penceramah politik tertentu, beliau juga terkenal dengan alunan zikir munajatnya. Semasa saya menjadi mufti, beliau berceramah atas pentas politiknya bersama dengan pendengarnya mengalunkan ‘istighfar dan zikirnya’. Habis sahaja ceramah beliau memaki hamun saya di atas pentas yang sama dengan menggelar saya ‘bapa syaitan’. Beliau mahu memancung saya dengan tuduhan saya akan menulis buku khas mengkritik partinya dan beberapa tuduhan lain yang tidak benar. Padahal buku tersebut tidak pernah muncul dan saya tiada cukup masa untuk itu.

Saya hanya tersenyum sinis melihat rakaman tersebut dalam youtube. Saya juga mungkin berterima kasih atas sedekahnya itu untuk saya yang kekurangan pahala ini. Cuma saya begitu kagum; bagaimana politik boleh menukar watak manusia daripada berzikir kepada memaki hamun orang. Maka jangan hairan jika politik boleh menukar manusia menjadi pencerca, perompak harta, penyeksa bahkan pembunuh sekalipun. Ya, orang politik memang pemurah pahala.

Sikap tidak professional yang dilakukan oleh orang-orang politik seperti inilah yang membantutkan manfaat intelektual dan menyumbang kepada keretakan masyarakat. Malangnya, hal ini sering dilakukan oleh orang politik yang sedang berkuasa, juga yang ingin mendapatkan kuasa. Apa tidaknya, jika seseorang yang memberikan pandangan yang berbeza atau mengkritik dalam batasan yang wajar diambil tindakan, maka terbantut idea-idea yang baik. Juga, apabila tindakbalas itu diambil dalam bentuk maki hamun, atau kezaliman yang lain, maka retak dan bergeserlah masyarakat.

Sebab itu, saya dapati dalam negara kita ramai intelektual takut, atau tidak dilatih untuk memberikan pandangan ‘ketiga’ atau yang berbeza dengan ‘kumpulan-kumpulan politik’ yang ada. Ini kerana, jika kumpulan atau badan politik itu mempunyai kuasa kita akan diambil tindakan secara kuasa. Jika mereka belum berkuasa, senjata cercaan, makian dan kutukan akan digunakan yang menyebabkan banyak pihak tidak mampu menanggungnya. Dengan itu, sifat murah pahala orang politik itu bukan sahaja untuk pesaing politik mereka, juga untuk sesiapa yang enggan akur kepada pandangan mereka, sekalipun tidak menyokong musuh mereka. Sehingga kadang-kala kita mungkin kecewa dan perit dengan sikap yang seperti itu. Namun Allah itu adil.

Sabda Nabi SAW: Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk (Riwayat Muslim).

Cumanya, jika kita semua; sama ada kita orang politik atau tidak, merenungi hadis ini dan yang sebelumnya, mungkin kita akan tidak pemurah pahala lagi, atau akan kurang pemurah. Ini kerana setiap kita memang sukar untuk mengawal tabiat ‘boros pahala’ ini, namun mengingati hadis ini akan membataskan kita. Sifat pemurah memang dianjurkan oleh Islam kerana ia boleh membantu orang lain juga mengeratkan hubungan antara kita.

Namun, jangan pemurah pahala kerana ia merosakkan orang lain dan meretakkan hubungan antara kita.

-----------------------
Other Perspektif :-

Fitnah, maki, carut, bohong & bermcm2 lagi sifat munafik, kotor & keji terlalu byk bermain2 di Media terutama sekali di Harakah , Suara Keadilan & juga blog2. Saya menyeru umat Islam negara ini meneliti apa yg diungkap & disingkap oleh Dr Marza. Berckplah dgn fakta bukan dgn fitnah yg jelas merupakan salah satu dosa besar disisi Allah. & jgnlah pula kita menyebarkan fitnah2 tersebut kerana nescaya anda 'pemurah pahala' kepada si tertuduhnya.

Wallahwaqlam. Sampaiknlah ilmu walau secebis.
comments

Apr 26, 2009

Tazkirah : Hukum Memberi Salam dan Menjawab Salam Orang Bukan Islam



Oleh: al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri 013 3621236

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda:لا تبدأوا اليهود ولا النصارى بالسلام فإذا لقيتم أحدهم في طريق فاضطروه إلى أضيقه
Maksudnya: “Janganlah kamu mulakan orang-orang Yahudi dan juga orang Nasrani dengan salam. Justeru itu, sekiranya kamu menemui seseorang mereka di jalan tolaklah mereka ke jalan yang paling sempit.

Ulama berbeza pendapat dalam menyelusuri fiqh (kefahaman) hadis ini. Kebanyakan mereka memutuskan bahawa haram memulakan ucapan salam kepada mereka. Sebahagian pula berkata ianya tidak haram tetapi makruh.

Seorang fuqaha iaitu Abu Sa`ad berpendapat, sekiranya seorang muslim ingin memberi ucapan hormat kepada bukan Islam dia boleh melakukannya dengan lafaz yang lain daripada lafaz salam. Contohnya dengan menyebut: (هداك الله ) maksudnya moga Allah memberi hidayah kepada kamu atau (أنعم الله صباحك) maksudnya moga Allah memberi anugerah di waktu pagimu ini. Imam Nawawi menyetujui pendapat ini tetapi dengan tambahan: sekiranya ianya diperlu.

Antara contoh ucapannya bagi Imam Nawawi ialah ucapan selamat pagi, pagi yang bahagia, pagi yang baik, moga Allah kurniakan kamu dengan kebahagian di waktu pagi, atau nikmat di waktu pagi dan seumpamanya. Sekiranya tidak perlu maka pilihannya ialah jangan mengucapkan apa-apa. (Nawawi, al-Azkar, Dar al-Khayr, hlm. 311)

Pandangan ini bagi saya sesuai diamalkan oleh umat Islam di Malaysia pada hari ini. Mereka boleh menyatakan selamat pagi kepada bukan Islam tanda penghormatan, atau berdoa moga Allah bagi hidayah atau seumpamanya. Ucapan-ucapan ini boleh mendekatkan mereka dengan bukan Islam sebagai satu pendekatan dakwah.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah saw bersabda: إذا سلم عليكم أهل الكتاب فقولوا وعليكم
Maksudnya:
“Apabila kamu diberi salam oleh ahli Kitab, jawablah “wa`alaikum”.

Imam Bukhari pula meriwayatkan daripada Ibn `Umar –radiyallahu `anhuma- katanya;
Rasulullah saw bersabda: إذا سلم عليكم اليهود فإنما يقول أحدهم السام عليك فقل وعليك
Maksudnya: “Apabila kamu diberi salam oleh Yahudi, mereka hanya menyatakan Assaamu `alaikum (mampuslah kamu), maka jawablah: wa `alaik (dan ke atas kamu juga).

Daripada kedua-dua hadis diatas para fuqaha mengambil hokum apabila seorang muslim diberi salam oleh bukan Islam, jawapan yang diberi ialah wa `alaik atau wa `alaikum (dan ke atas kamu juga).
Imam Mawardi menghikayatkan satu wajah di kalangan ashab Syafie iaitu harus memulakan salam kepada bukan Islam dengan menyebut Assalamu `Alaik sahaja bukannya Assalamu `Alaikum. Begitu juga boleh menjawab salam mereka dengan Wa `Alaikum Salam, tapi tidak menyebut warahmatullah.

Imam Nawawi menegaskan bahawa kedua-dua pendapat ini adalah janggal dan ditolak. (Nawawi, al-Azkar, Dar al-Khayr, hlm. 311)

Kesimpulan perbahasan di atas ialah ucapan salam adalah ucapan khusus untuk umat islam.
Justeru, untuk bukan Islam tidak perlu digunakan lafaz salam tetapi boleh digunakan lafaz-lafaz penghormatan yang lain.
---
Other Perspektif :- Sampaikanlah Ilmu walau sepatah.
comments

Apr 2, 2009

Tazkirah - Hukum Fitnah & Tuduhan Kafir

Wujud Paling Buruk?

Persoalan yang timbul di kalangan masyarakat, siapakah yang bertanggungjawab mencemarkan agama Islam sebagai agama kedamaian dan mengambil hak Allah swt dengan menyesatkan dan mengkafirkan sesama Islam sehingga berlaku kepada pembunuhan, kerosakan dan penganiayaan tersebut. Di sini bukan niat untuk memburuk-burukkan ulama tetapi ingin mengingatkan pesan suci Nabi Muhammad saw. Baginda saw telah memberikan gambaran yang paling tepat mengenai segelintir ulama Islam di zaman ini yang dianggap sebagai wujud paling buruk di bawah kolong langit dan seperti kera serta khinzir. Mengapa perumpamaan yang keras seperti ini disabdakan oleh Rasulullah saw?

“Akan ada dalam umatku orang-orang yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali kepada ulama mereka, ternyata mereka itu kera-kera dan babi-babi(HR Al Hakim dalam Al Mustadrak dari Hazrat Abi Ummah r.a: dan Kanzul-Umal, Juz XIV/38727).

“Akan datang, satu zaman pada manusia di mana tidak ada lagi yang tinggal dari Islam kecuali namanya dan dari Al Quran yang akan tinggal hanya tulisannya. Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. Ulamanya akan menjadi wujud paling buruk di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah akan keluar dari mereka tapi akhirnya kembali kepada mereka juga” (Baihaqi).

Berdasarkan hadis di atas, terdapat golongan dalam masyarakat Islam yang disabdakan oleh Baginda saw yang tidak tahu apa-apa mengenai ilmu agama lalu merujuk kepada para ulama mereka. Salah satu fatwa yang menyempurnakan nubuwatan Rasulullah saw ialah berkenaan fatwa mengkafirkan sekumpulan Islam yang lain. Apabila para ulama mereka mengeluarkan fatwa tersebut maka para pengikutnya mempercayai dan mengikut tanpa menyelidiki kesahihannya. Manakala ulama tersebut pula mengatakan mereka mengeluarkan fatwa tersebut kerana merujuk atau mengikut fatwa yang disepakati oleh ulama antarabangsa atau ulama terdahulu. Sifat ini yang diumpamakan oleh Rasulullah saw sebagai “kera” iaitu suka meniru sahaja tanpa memahami atau menyelidiki sendiri tentang perkara tersebut.

Sifat babi yang kita ketahui adalah suka kepada kekotoran atau najis dan tidak tahu malu yang bermaksud golongan ini bukan sahaja suka meniru atau menurut sahaja, malah tidak tahu malu untuk melakukan dusta dan fitnah. Golongan ini yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw seperti “kera” dan “khinzir” kerana mereka mengikut sahaja memfatwakan dan menabur fitnah-fitnah kepada orang-orang Islam yang lain sebagai sesat dan bukan Islam padahal golongan yang dikatakan sesat itu adalah orang Islam. Fitnah dan pembohongan ini yang menyebabkan Rasulullah saw terpaksa menggunakan perumpamaan yang sangat keras tersebut. Ini adalah kerana Rasululah saw mengetahui fitnah dan pembohongan seperti ini akan menyebabkan berlakunya keganasan dan kekerasan dengan menyerang, membakar, merosak, mencedera dan membunuh. Lebih biadap lagi, mereka memakai dan melaungkan nama Allah swt (Yang Maha Pengasih dan Penyayang) semasa melakukan perbuatan keji ini. Padahal Allah swt tidak suka kepada kerosakan: “Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang berbuat kerosakan.” (28:77).

Perbuatan menggunakan kekerasan adalah bukti segelintir umat Islam hanya pada nama sahaja dan Al Quran hanya tinggal tulisan kerana segelintir umat Islam telah membelakangkan ajaran Al Quran kerana menyerang masjid dan membunuh orang Islam yang difitnahnya. Masjid-masjid golongan ulama tersebut besar dan indah tetapi kosong petunjuk kerana masjid mereka menjadi medan menaburkan fitnah-fitnah kepada masyarakat untuk membenci dan menjauhi kelompok Islam yang dianggap sesat atau menghina Nabi Muhammad saw. Namun begitu berdasarkan hadis ini juga memperlihatkan bahawa Allah swt yang akan memberi petunjuk dan membongkar pembohongan tersebut sehingga masyarakat akan melihat sendiri bagaimana fitnah tersebut akan berbalik kepada golongan ulama tersebut kerana mereka akan melihat sendiri dan sedar bahawa golongan ulama tersebutlah yang sesat dan menghina Rasulullah saw kerana mengeluarkan fatwa yang berunsur fitnah dan melakukan percakapan serta perbuatan yang bertentangan dengan ajaran suci Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad saw.

Rasulullah saw bersabda: “Barang siapa memanggil dan menyebut seseorang kafir atau musuh Allah padahal sebenarnya bukan demikian, maka ucapannya itu akan kembali kepada orang yang mengatakan (menuduh) itu” (Bukhari). Sabda ini memperlihatkan betapa besarnya dosa tersebut dan ini merupakan kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian besar umat Islam kerana turut mempercayai fitnah-fitnah tersebut tanpa melakukan penyelidikan dan siasatan. Sabda suci ini juga memperlihatkan Islam amat menjaga keutuhannya dan tidak membenarkan sebarang bentuk perbezaan penafsiran dijadikan alasan untuk mengkafirkan kelompok Islam yang lain. Selagi umat Islam bermain isu keji ini maka selama itulah mereka akan menghadapi masalah dengan Allah swt. Berhati-hatilah kesilapan dan kelalaian ini boleh menjejaskan pengabulan doa-doa umat Islam yang kini dilanda pelbagai masalah dan musibah.


Allah swt amat mengetahui keburukan isu mengkafirkan dan memurtadkan yang akan terjadi di dalam umat Islam maka Dia memberi petunjuk yang terbaik untuk menyelamatkan umat Islam dari perangkap tersebut.
Allah swt berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi berjihad di jalan Allah, maka selidiki sebaik-baiknya dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang memberi salam kepadamu “Engkau bukan mukmin”, Kamu hendak mencari harta kehidupan di dunia, padahal di sisi Allah banyak kekayaan”. (4:94)

Apa yang perlu diberi perhatian ialah berdasarkan ayat Al Quran tersebut, hanya perkataan salam menyebabkan Allah swt telah memerintahkan jihad itu harus diberhentikan. Jika perkataan salam sahaja sudah memadai, apalagi jika sesuatu perkumpulan tersebut mengakui diri mereka sebagai Islam dan terpampang Kalimah Syahadah di masjid mereka.
Berdoalah kepada Allah swt Yang Maha Hidup dan Maha Pemberi Petunjuk untuk memberi pedoman agar kita tidak termasuk dalam golongan yang menganiaya.
---
Other Perspektif :-
Tazkirah diterima & dipaparkan oleh seorg sahabat. Agar dijadikan renungan & pandangan. Sampaiknlah walau sepotong ayat.
Wallahwaqlam.
comments