Mar 23, 2009

Keadaan Melayu hari ini lebih merbahaya dari Malayan Union - Dr Mahathir

Antara Petikan Ucapan Tun Yang Menyentuh Jiwa saya sebagai Anak Melayu Islam.
-----
Mengapa dikatakan keadaan Melayu lebih merbahaya dr Malayan Union.
Kenapa tidak? Kita kini diserang berkali-kali oleh berbagai pihak. Ramai daripada orang lain berkata :-

Melayu adalah kaum pendatang.

Melayu mengamalkan apartheid ala kulit putih Afrika Selatan.

Melayu tidak adil, suka menidakkan hak kaum-kaum lain.

Melayu sudah cukup kaya dan tidak perlu dasar Ekonomi Baru lagi.

Semua peluang perniagaan dan pelajaran diberi hanya kepada orang Melayu.

Kuasa politik dibolot oleh orang Melayu dan lain-lain.

Berhadapan dengan tuduhan dan tohmahan ini Melayu sekarang tidak boleh mempertahankan diri, bahkan tidak boleh bercakap berkenaan dengan bangsa mereka tanpa dituduh sebagai racist. Mereka harus terima sahaja semua tuduhan/tohmahan ini dan berdiam diri atau bersetuju sahaja. Mereka juga boleh tambah tokok kepada kecaman ini dan mereka ini akan dianggap liberal dan disanjung tinggi oleh orang lain. Sebenarnya orang Melayu sekarang berada dalam ketakutan, tidak mempunyai pemimpin yang sanggup pertahankan mereka. Sebaliknya pemimpin mereka mengerohkan lagi keadaan dengan memohon maaf walaupun kesalahan dilakukn oleh orang lain.
Keadaan hari ini 'lebih merbahaya' daripada keadaan semasa British merancang untuk menakluk negeri-negeri Melayu dengan perancangan Malayan Union. Pada masa itu kita boleh cakap berkenaan Melayu dan tidak ada sesiapa yang akan tuduh kita sebagai racist. British pun tidak panggil kita racist. Mereka akui memang pun hak orang Melayu menuntut negeri-negeri Melayu sebagai hak orang Melayu.

Semua perjanjian berkenaan dengan negeri-negeri di semenanjung mesti dibuat dengan Raja-Raja Melayu.

Sekarang orang Melayu tidak pun boleh berkata negeri ini negeri Melayu, tidak boleh sebut negeri ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Negeri Jepun boleh dikatakan negeri orang Jepun, negeri Korea – negeri orang Korea, negeri China – negeri orang Cina, negeri India – negeri orang India.

Sekarang Malaysia, hak orang Malaysia dan bukan hak orang Melayu. Kesanggupan dan kerelaan orang Melayu berkongsi milik negara ini tidak sedikit pun dihargai. Pemberian satu juta kerakyatan oleh Tunku Abdul Rahman Putra kepada kaum lain tidak dihargai bahkan tidak diingati, dilupakan dengan begitu sahaja.

Orang Melayu dikatakan 'kaum pendatang' di negaranya sendiri. Dan kaum pendatang lain tidak boleh dipanggil kaum pendatang. Jika sesiapa berbuat demikian, mereka mesti minta maaf. Tidak perlu sesiapa minta maaf jika berkata Melayu kaum pendatang.

Tetapi itu pun sudah terlepas daripada genggaman kita. Sekarang kita tidak kuat lagi. Parti Melayu yang terkenal sudah kalah dalam Pilihanraya Umum ke-12. Parti Melayu yang menang pun berada dalam ketakutan jika parti rakan mereka menolak mereka. Sekarang orang tidak lagi hormat kita. Apa sahaja yang dituntut orang lain, baik yang menang, baik yang kalah akan kita layan. Kita yang perlu hormati orang lain. Tersilap sikit kita minta maaf bagi pihak semua bangsa Melayu.

Kita lupa betapa kita dijajah dahulu, kita terpaksa panggil tuan orang yang menjajah kita, orang yang menghina kita. Tak boleh cakap berkenaan ketuanan Melayu. Kamu jadi hamba dahulu, bukan Tuan, layak hanya untuk tanam padi, tangkap ikan, jadi kuli orang, bawa kereta orang, tukang masak orang.

Selama 450 tahun kita dijajah, hidup sebagai hamba, dianggap tidak layak mentadbir negara sendiri, tidak layak merdeka. Kita terpaksa letak diri kita dibawah naungan negara-negara jiran yang lebih kuat. Tiap tahun kita usung bunga emas dan perak untuk dipersembahkan kepada negara penaung-penaung kita. Kadang-kadang Raja kita pun pergi bersama, untuk membukti kesetiaan diri dan negeri kepada negara penanung.

Kita kecap sepenuhnya nikmat yang ada pada kita. Apa dianya semangat ke-Melayuan? Apa relevannya? Bukankah kita sudah berjaya? Hendak semangat buat apa lagi? Masuk parti untuk apa? Perjuangan sudah selesai dengan jayanya.

Tetapi ingatlah penjajahan tidak selalu berbentuk penaklukan secara langsung. Penjajahan boleh berlaku walaupun kita miliki pemerintahan sendiri. Ia boleh berlaku apabila pemerintah kita yang dipilih dan diberi kuasa oleh kita sudah menjual diri mereka kepada orang lain, samada dari dalam negeri atau dari luar. Atau takut jiran marah.

Pemerintah yang mengikut telunjuk orang lain bukan bebas lagi.

Kita sudah lihat hanya kerana hendak kekal sebagai pemerintah, ada yang sanggup layan apa sahaja arahan, tuntutan, desakan oleh pihak yang menentukan jawatan bagi kita. Kalau pun apa yang dituntut merugikan orang Melayu, itu tidak mengapa asalkan kita dapat jawatan, walaupun sebagai “figurehead”, patung sahaja, tidak berkuasa pun.

Pada permukaannya kita merdeka tetapi pada hakikatnya kita sudah kembali dijajah. Apabila kita kembali dijajah maka kita sudah khianati pejuang-pejuang kemerdekaan kita dahulu. Itulah kenyataan yang sebenar. Melayu mudah lupa.

Kata seorang ahli falsafah; “Mereka yang lupa akan sejarah mereka akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali”. Inilah hasil daripada mudah lupa. Kita lupa bahkan kita tidak suka diperingati akan sejarah kita.

Sesungguhnya nasib kita ada di tangan kita. Jika nasib ini tidak baik kitalah yang harus berusaha untuk memperbaikinya. Ingatlah, Tuhan telah berfirman yang Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubah nasibnya. Apakah kita sedang berusaha untuk memperbaiki nasib kita?

Sesungguhnya kuasa politik kuasa ajaib. Selagi ada kuasa ini kepada kita, percayalah kita akan dapat pulih segala-galanya, kita akan dapat mengatasi kelemahan kita, kita akan dapat tentukan masa depan kita. Tidakkah kita lihat bagaimana daripada bangsa yang dijajah dan dihina, kuasa politik sudah mengubah nasib kita demikian sehingga kita dianggap sebagai contoh kepada bangsa-bangsa lain di dunia.

Apakah akan jadi kepada kita apabila kuasa politik terlucut daripada kita? Apakah kita akan terus merdeka? Saya fikir tidak. Tuan-Tuan dan Puan-Puan Perhimpunan Melayu hari ini memang menjadi hak bagi kita kerana kita menghadapi masalah-masalah yang besar-besar, bukan satu tetapi banyak masalah. Kita semua berasa cemas.

Di mana-mana sahaja orang Melayu sedang berhimpun untuk membincang masalah mereka, kecemasan yang mereka rasai. Jika pada hari ini kita dapat menyedarkan akan musibah yang sedang dan akan timpa keatas kita, jika kesedaran ini akan menyebabkan kita bertindak keras terhadap mereka diantara kita yang mencetuskan masalah ini, jika kita dapat bandingkan gejala rasuah yang menjadi ancaman terhadap kita yang terbesar sekali, maka ralatlah perhimpunan ini, berjayalah perhimpunan ini.

Saya tak salahkan orang lain. Saya salahkan kita sendiri. Tak mungkin orang lain menguasai kita jika kita tegas dan tidak membenarkan mereka.

Maju mundurnya bangsa kita terpulanglah kepada kita. Ingatlah Tuhan tidak akan ubah nasib kita melainkan kita berusaha mengubah nasib kita sendiri.

comments

No comments:

Post a Comment