Jun 22, 2009

Kerajaan Perpaduan ~ Jalan Perdamainan Penuh Berliku? - Dr Asri

Saya dapat membayangkan betapa terguris perasaan beberapa tokoh politik yang dikecam oleh rakan sendiri disebabkan kerana hasrat ingin mencari perdamaian dalam kalangan kaum muslimin.

Keadaan begini menjadikan kita lebih faham mengapa Allah menyebut: (maksudnya) “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku ialah dalam kalangan muslimin!” Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; maka (engkau akan dapati) orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.

Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar (dari kebahagiaan dunia dan akhirat).” (Surah Fussilat ayat 33-35).

Allah mengajar dalam ayat di atas agar kita menyeru kepada Allah, iaitu ajaran-Nya bukan kepada kepentingan diri, parti atau apa sahaja, serta menyatakan kita dalam kalangan kaum muslimin. Maka muslim atau Islam itulah identiti kita merentasi segala identiti dan ideologi perkauman, politik dan fanatik kelompok dan puak. Kemudian Allah mengajar agar dalam dakwah kita berusaha menolak kejahatan dengan kebaikan. Tidak perlu menyimpan dendam dan amarah yang tidak sudah.
Dengan tidak menggadaikan prinsip dan berhati-hati, dalam masa yang sama al-Quran memberitahu kita tindakan menunjukkan kebaikan dalam menghadapi kejahatan boleh menatijahkan musuh menjadi rakan setia. Namun Allah juga memberitahu untuk melaksanakan hal ini amatlah berat dan tidak akan sanggup dipikul melainkan mereka yang sabar dan mendapat kurniaan besar daripada Allah.

Saya tahu ramai orang politik baca ayat ini. Mereka juga tahu Allah menyebut dalam firman-Nya yang lain (maksudnya) “Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara): Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat: ayat 9-10).

Juga sabda Nabi saw: “Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat ? Jawab para sahabat: Bahkan. Sabda baginda: “Mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama).” (Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Amat dukacita jika ada dalam kalangan orang Islam melenting dengan idea perdamaian antara kelompok-kelompok Islam yang berbalahan. Mungkin kerana dia kurang jelas maksudnya, atau beberapa andaian politik yang menakutkan. Apa pun, perdamaian bukan semestinya menghapuskan identiti, tetapi untuk kembali memahami antara satu sama lain atas asas ukhuwah islamiah.

Bak firman Allah: (maksudnya) “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (Surah al-Nisa’: ayat 114).

Jika kita tidak melenting dengan cadangan agar penjenayah Chin Peng dimaafkan dan dibawa pulang, mengapa pula begitu marah untuk sesama muslim cuba duduk semeja, bermaaf-maafan dan berunding untuk kebaikan umat dan rakyat.

Hari ini, hasrat itu dinyatakan sendiri oleh org politik. Saya amat bersyukur. Namun nampaknya ia tidak semudah itu. Rintangan & halangan amat besar & sukar. Dendam, prejudis, hasutan & sejarah silam membaluti isu ini. Nampaknya lebih mudah utk kelompok2 politik muslim ini duduk dgn 'org lain' dibandingkn dgn saudara semuslim sendiri.

~~~~~
Anaklangkawi :- Diharap lebih ramai lagi tokoh2 Agama & ulama membuat kenyataan menyokong agenda yg digagaskan oleh TGHA.. Ini yg terbaik & dituntut oleh Islam..
comments

No comments:

Post a Comment