Jul 2, 2008

Mufti Perlis :- Boleh jadi, penyamun jual penyangak -Politik zaman kini


-- Among selected article which Give different perspektif or views on current political situation-


TAJ al-Din al-Subki (w. 771H) yang merupakan tokoh ilmuan besar dalam mazhab al-Syafii. Sumbangannya kepada dunia kesarjanaan tidak boleh dinafikan. Tetapi kadang-kala sikap yang begitu kuat untuk mempertahankan mazhab pegangannya menyebabkan beliau mengeluarkan pandangan atau pendirian yang seakan meminggirkan penilaian ilmiah.

Antaranya, kata beliau: “Adapun Hijaz, semenjak mazhab al-Syafii muncul sehingga ke hari ini kesemuanya berada dalam tangan Syafiiyyah (pengikut mazhab Syafii). Mereka menguasai jawatan kehakiman, jawatan khatib masjid, jawatan imam di Mekah dan Madinah. Orang ramai semenjak tahun 563H berkhutbah dan bersolat di Masjid Rasulullah SAW atas mazhab sepupu Nabi iaitu Muhammad bin Idris (al-Imam al- Syafii). Mereka qunut semasa solat subuh, menjaharkan (menjelaskan) bacaan basmalah (bismi Allah), menunggalkan iqamah dan berbagai-bagai lagi. Sementara Rasulullah SAW hadir mendengar dan melihat itu semua. Inilah dalil yang paling jelas bahawa mazhab al-Syafii adalah mazhab yang benar di sisi Allah”.) (Al-Subki: Taj al-Din ‘Abd al-Wahhab, Tabaqat al- Syafi‘iyyah, jld 1, m.s 283, Beirut: Dar al- Ma‘rifah t.t.)

Alangkah ganjil penilaian yang seperti ini. Di mana pergi penilaian ilmiah tokoh mazhab al-Syafii ini? Jika al-Subki hidup pada zaman ini dan melihat Masjid Nabi SAW dipegang oleh mereka yang bermazhab Hanbali, bagaimana pula beliau ingin mengulas? Apakah ini akan membuktikan pula mazhab Ahmad bin Hanbal lebih Allah redai pada zaman ini? Bahkan al-Subki ketika cuba membuktikan kelebihan mazhab al-Syafii beliau menyatakan semua mujaddid (reformis) sehingga kurun yang ketujuh adalah bermazhab Syafii (Ibid, jilid 1, m.s. 284). Beliau hanya mengiktiraf mereka yang bermazhab al-Syafii sebagai mujaddid dan melupai yang lain. Apakah jika dapat dibuktikan orang lain juga mujaddid maka beliau akan menarik balik pendapatnya tentang kelebihan mazhab al-Syafii dibandingkan mazhab lain?

Bukan al-Imam al-Subki yang hendak saya tonjolkan di sini, tetapi yang hendak diketengahkan bahawa tokoh agamawan atau cerdik pandai sebesar mana pun mereka jika diselubungi dengan ketaksuban akan membunuh penilaian yang rasional dan ilmiah. Hasil daripada ketaksuban itulah akhirnya diwarisi oleh pengikut hingga sesetengah mereka enggan berfikir melainkan apa yang difikirkan oleh tokoh pujaan mereka sahaja. Enggan memahami sesuatu perkara di luar dari kerangka kefahaman pemimpin pujaan mereka semata. Lalu mereka akan meminggirkan kaedah penilaian yang seimbang yang hanya berpaksikan fakta dan angka.

Mengikut sesuatu mazhab itu tidak salah. Tetapi ketaksuban sehingga enggan mendengar hujah atau dalil daripada pihak yang lain, lalu menolak mentah-mentah fakta yang kukuh hanya kerana ‘itu bukan mazhab saya’ adalah satu kesalahan besar. Demikianlah menjadi ahli parti politik tidak salah. Tetapi ketaksuban kepada parti yang dianuti sehingga enggan menerima kebenaran daripada pihak lain dan menolak hujah yang benar hanya kerana ‘itu bukan pendirian parti saya’ adalah satu kesalahan besar. Malangnya, sejarah selalu membuktikan sikap terlalu berpegang kepada aliran tertentu sering mengundang pendirian yang membuta tuli. Sehingga ada yang sanggup berdusta atas nama Nabi SAW kerana hasad kepada mazhab lain. Antara yang terkenal dalam sejarah sebuah hadis rekaan:

“Akan ada di kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris (al-Imam al-Syafii), dia memberi mudarat kepada umatku lebih daripada iblis. Akan ada pula seorang lelaki di kalangan umatku dipanggil Abu Hanifah, dia adalah lampu umatku, dia adalah lampu umatku”. Hadis ini direka oleh Makmun bin Ahmad al-Harawi yang hasad dengan perkembangan pengikut al-Imam al-Syafi‘i di Khurasan. (lihat: Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182. Beirut: Dar al-Fikr) Kata al-Jarahi (w 1162H): “Tiada suatu pun hadis sahih mengenai pujian atau cercaan terhadap Abu Hanifah dan al-Syafii. Semua yang disebut mengenai hal berkenaan adalah palsu lagi dusta”. (Al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2,/420. Beirut: Dar Ihya al-Tutath al-‘Arabi).

Ada pihak mencadangkan saya menjadi ahli parti politik. Alasannya, tanpa menjadi ahli parti politik, saya tidak mungkin dapat menegakkan kebenaran. Saya berterima kasih dengan cadangan itu. Saya rasa cadangan itu lahir daripada niat yang ikhlas. Mungkin ada kebenarannya pada pandangan tersebut. Namun, ada juga keadaan yang menunjukkan bukan semua campur tangan politik itu lebih kuat daripada manusia biasa yang tidak mempunyai kuasa politik. Ramai para sarjana Islam dahulu yang tidak terlibat secara langsung dengan dunia politik. Namun, pengaruh mereka mampu merubah alam politik. Di samping tidak dinafikan juga, kadang-kala keengganan para ulama yang soleh melibatkan diri dengan kuasa politik menyebabkan kuasa itu berada di tangan mereka yang tidak sewajarnya. Namun, politik adalah seni, bukan semua insan mampu untuk terjun ke dalamnya. Apatah lagi politik di zaman ini, sehingga seorang tokoh Turki, Said Nursi menyebut: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik”.

Hari ini ada negeri yang ditadbirkan secara campuran parti termasuk yang berjenama Islam. Media melaporkan sayap pemuda parti berkenaan membuat bantahan demi bantahan terhadap persembahan artis tertentu di negeri tersebut, sehingga ke peringkat untuk mengadakan demonstrasi aman. Nampaknya belum berjaya lagi. Jika mereka masih ingat, pada awal Mei lepas, saya yang teramat daif dan kerdil ini membantah persembahan Faizal Tahir di Perlis. Alhamdulillah, dengan satu bantahan ternyata berkesan. Tidakkah negeri mereka juga ada mufti? Apa yang hendak saya sebut, keberkesanan dalam melakukan perubahan itu, tidaklah mutlak mensyaratkan seseorang menjadi ahli parti politik. Ramai sarjana atau ilmuan yang terlibat dengan politik. Mereka memberi pandangan tentang politik, menegur orang politik dan seumpamanya. Mereka tidak menjadi ahli parti.

Sekalipun, barangkali mereka tidak cukup kemampuan untuk berpolitik, tetapi mereka mampu menilai politik dan kuasa. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a menulis buku tentang politik yang diberi judul as-Siyasah as-Syar‘iyyah fi Islah al-Ra‘I wa al-Ra‘iyyah (Politik Syar‘i Dalam Membaiki Pemerintah dan Rakyat). Buku itu menjadi rujukan umat sehingga hari ini. Ibn Taimiyyah berjuang dengan keringat dan air mata membaiki ahli politik. Beliau tidak menjadi pemerintah atau menteri, tetapi beliau menegur dan membetulkan pemerintah dan menteri. Lebih hebat, beliau mati dalam kurungan pihak berkuasa. Pada hari ini, orang tidak memetik atau menukilkan pandangan politik penguasa yang memenjarakan Ibn Taimiyyah, tetapi puluhan juta manusia membaca sejarah perjuangan, karya dan pemikiran politik Ibn Taimiyyah yang mati dalam penjara kuasa politik. Kepada Allah segala pujian,

Dia mengangkat sesiapa yang Dia kehendaki sekalipun manusia menghinanya, Dan Allah jua yang menghina sesiapa yang Dia kehendaki sekalipun manusia menabalkannya.
Saya ditunjukkan laman web yang ‘ala- ala semangat Islam’. Beberapa pengunjungnya memaki saya kerana tidak menyertai parti mereka. Mungkin itu bukan pandangan pimpinan mereka, tetapi gaya fikir seperti itu amat tidak sihat untuk perkembangan minda umat.

Seperti yang saya sebutkan, yang menjadi masalah dalam sepanjang sejarah bukan bermazhab atau berparti, tetapi ketaksuban kepada mazhab atau parti. Sehingga ada pihak menganggap kebenaran mutlak itu hanya terkepung dalam mazhab atau partinya semata. Sesiapa yang berada di luar daerah mazhab atau partinya, maka orang itu berada di luar di petak kebenaran. Inilah yang disebut oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi mengkritik golongan taksub mazhab dengan katanya: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian.

Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syariat dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabat dan mereka yang selepas sahabat sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi.

Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya (penganalisis) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al- Mazmum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).

Kesempitan akal Dalam politik kepartian juga demikian. Sehingga di Malaysia ini, jika kita bersetuju dengan pandangan parti A, maka kita dianggap menentang parti B. Jika kita menentang pandangan parti B, kita akan dituduh menyokong parti A. Inilah gaya fikir yang hanya mengehadkan warna kepada hitam atau putih. Apabila kita tidak memilih hitam, kita dituduh memilih warna putih. Di atas kejumudan yang dianuti oleh mereka, difardukan hal tersebut kepada orang lain.

Mengapa mereka tidak berfikir orang yang tidak memilih warna hitam atau putih itu mungkin memilih warna merah atau hijau atau biru atau kuning atau selainnya? Apakah kerana mereka hanya tahu dua warna, lalu orang lain pun dinilai berdasarkan kejahilan mereka? Jika kita tidak menyokong pendapat parti A, bukan bererti kita menyokong pendapat parti B. Dunia idea, pemikiran dan cadangan lebih luas daripada sempadan daerah kepartian. Mengapakah mereka selalu berfikir, jika awak tidak menyertai kami, bererti awak menentang kami?

Pemikiran sebeginilah yang diamalkan oleh pemerintah-pemerint ah yang kejam sepanjang sejarah. Lalu ramai yang hukum tanpa dosa yang dilakukan. Sama seperti golongan jumud di negara ini yang menuduh sesiapa yang tidak beramal cara Melayu, maka dia Wahabi. Walaupun yang dituduh itu tidak tahu pun apa itu Wahabi. Memfardukan kesempitan akal kita ke atas orang lain adalah kezaliman, dan bertindak atas kesempitan itu adalah kekejaman.

Islam selalu adil dalam menilai manusia. Sehingga mereka yang dianggap kafir (tidak mempercayai ajaran Islam) pun tidak disama ratakan. Ada yang dianggap Ahl Harb (mereka memerangi Islam) dan ada pula yang dianggap Ahl ‘Ahd (mereka yang mempunyai perjanjian dengan umat Islam). Dengan pembahagian itu, politik Islam membeza-bezakan pendekatan terhadap mereka berdasar perbezaan sikap mereka. Bukan diletakkan dalam satu karung atas nama ‘kafir’. Firman Allah: (maksudnya): “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah ayat 8-9).

Selagi kita tidak dapat membebaskan kesempitan fikiran sehingga mampu berfikir di luar kotak kebiasaan, maka kita sukar untuk mencari kebenaran dan maju kehadapan. Saya agak dukacita apabila berforum dengan seseorang daripada parti tertentu yang apabila tindakan partinya dikritik, dia menjawab “dulu parti lawannya buat lebih teruk lagi”.

Pemikiran yang seperti itu hanya akan menghalalkan kesalahan sendiri atas alasan musuhnya lebih buruk. Apakah jika parti yang memerintah dahulu merompak harta rakyat satu billion, maka tidak salah untuk anda merompak setengah billion, kerana itu kurang daripada yang dahulu? Inilah bahayanya apabila pemikiran tersepit antara partinya dan parti lawannya. Sehingga bilakah rompakan itu akan berakhir jika setiap yang datang menghalalkan perbuatannya atas bandingan dengan musuhnya? Anda diberikan mandat oleh rakyat supaya anda mengubah segala penyelewengan itu, bukan untuk sekadar mengurang jumlah rompakan!

Namun ramai yang enggan atau memandulkan cara fikir disebabkan ketaksubannya. Sehingga ada yang berfikir apabila parti atau pihak musuh politiknya berbuat salah, maka itu bererti partinya atau dirinya di pihak yang benar. Padahal itu bukan semestinya. Mungkin parti lawan awak buat salah, dan awak juga buat. Mungkin parti A menyeleweng di sudut kewangan, anda menyeleweng di sudut agama. Mungkin dia menyeleweng dalam sepuluh perkara, awak pula dalam sepuluh perkara yang lain.

Mungkin juga seperti kata P.Ramlee dalam filem Tiga Abdul ketika diberitahu bahawa Sadik Sigaraga menjual abang-abangnya. Jawabnya: “Dah kena dah, penyamun jual penyangak”.
Maka ke arah masa depan yang lebih cemerlang lagi diredai Allah, jika kita ingin membuat perubahan, maka ubahlah cara fikir manusia agar betul, barulah hidup mereka akan berubah ke arah yang betul.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: http://uk.mc270.mail.yahoo.com/mc/compose?to=moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza. com/ comments

1 comment:

  1. “Inflation ?? Women & Micro Economy, The Dinar & Dirham Solution”

    Penceramah: Umar Vadillo (Cendikiawan Islam Sepanyol)

    Tempat: Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara Kuala Lumpur.

    Tarikh: 6 Julai 2008 (Ahad)

    Waktu: 5 petang.

    Semua dijemput hadir....

    ReplyDelete